HADITH SEBAGAI SUMBER RUJUKAN ISLAM

HADIS SEBAGAI SUMBER RUJUKAN ISLAMOleh Prof. Dato’ Dzulkifli bin Abdul RazakNaib Canselor USM

(Disesuaikan dari teks ucapan di Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Warisan Al-Hadith pada 8 Julai 2004, di Dewan Budaya USM)
Hadith adalah sumber rujukan utama yang kedua dalam Islam selepas al-Quran. Hadith yang diperlukan dalam memahami isi kandungan al-Quran, menjadikan hadith sebagai sumber rujukan dalam Islam yang tidak dapat dinafikan lagi. Oleh itu usaha-usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk memastikan kepentingan hadith dalam Islam sebagai sumber rujukan tidak tergugat oleh mana-mana faktor. Seminar yang sebegini akan membantu memberi kesedaran kepada masyarakat kepada kepentingan hadith.
Peranan hadith perlu dilihat dalam skop yang lebih luas, dan hadith-hadith nabi ini perlu dikaji dan difahami dalam konteks yang lebih menyeluruh. Ini bertepatan dengan tema seminar ini dalam melahirkan generasi memahami dan menghayati al-hadith.
Rasulullah s.a.w. telah dibangkitkan oleh Allah untuk memimpin umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Baginda s.a.w adalah rahmat dari Allah S.W.T. yang tidak ternilai harganya kepada alam semseta ini, sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran dalam surah al-Anbiya’, ayat 107, yang maksudnya, “Dan tidaklah Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (al-Anbiya’: 107)
Sebagai seorang rasul yang diutuskan, darjat ketinggiannya mengatasi pemimpin-pemimpin yang lain. Baginda bersifat ma’sum iaitu terpelihara dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Oleh kerana itu, arah dan tujuan yang dibawanya untuk seluruh umat manusia ini adalah benar dan terjamin. Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. iaitu agama Islam. Kini Baginda s.a.w. sudah tidak ada lagi di dunia ini, tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpengang dengan pusaka tinggalannya iaitu al-Quran dan Hadith. Melalui dua sumber utama ini, umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran ini.
Sebagai seorang muslim, kita tidak sepatutnya membesar-besarkan dan menyanjung individu yang lain melebihi Rasulullah s.a.w., sekalipun seorang yang dianggap tokoh, kerana mereka tertakluk kepada kekurangan-kekurangan dan kesilapan-kesilapan yang diakibatkan oleh kelemahan diri masing-masing. Pemujaan tokoh dan pendewaan terhadap seseorang tidak seharusnya wujud dalam masyarakat Islam, kerana kecenderungan mengagung-agungkan seseorang tokoh, kadang-kadang boleh membawa kita kepada penyelewengan dalam ajaran Islam.
Dalam menyampaikan ajaran dan perintah-perintah daripada Allah, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan contoh-contoh teladan untuk diikuti oleh umatnya. Maksud firman Allah S.W.T. dalam al-Quran, surah al-Ahzab, ayat 21,“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Menjadi tanggung jawab umat Islam sekarang untuk mengkaji hadith-hadith baginda Rasulullah s.a.w. yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Khazanah ilmu perlu ditambah dan difahami berdasarkan ajaran baginda bersesuaian dengan kehendak semasa. Disamping al-Quran, pengajian hadith juga perlu dijadikan sebagai rujukan dan penggerak kepada penemuan-penemuan baru pada era globalisasi ini. Sejarah membuktikan kepada kita bahawa sarjana-sarjana Islam terdahulu dapat menguasai pelbagai bidang ilmu kerana kesungguhan mereka dalam memikul beban dan tanggung jawab yang difardhukan Allah S.W.T. dalam pengkajian dan penerokaan ilmu pengetahuan. Penemuan dan penciptaan baru dalam apa jua bidang bagi umat Islam bukanlah sesuatu yang sekadar boleh dibanggakan, namun apa yang lebih penting ialah ianya suatu tanggung jawab untuk mengimarahkan kehidupan manusia di muka bumi.
Diharapkan dari seminar ini, yang merangkumi pelbagai tema, pelbagai penemuan baru dapat dikenal pasti dan membuka ruang untuk pengkajian yang lebih menyeluruh dalam bidang hadith. Diharapkan juga dari pembentangan-pembentangan yang akan berlangsung, dapat menambahkan kefahaman kita terhadap hadith serta membaiki mana-mana salah faham kita tentang hadith.
Salah faham tentang peranan hadith sebagai sumber rujukan dalam ajaran Islam sebenarnya adalah fahaman yang salah dan boleh membahayakan masyarakat Islam. Fahaman yang sebegini lahir akibat dari kecetekan pengetahuan pihak-pihak tertentu tentang hadith. Mereka hanya menggunakan pertimbangan akal mereka semata-mata tanpa melihat dengan lebih terperinci dalil-dalil yang berkaitan.
Dengan itu diharapkan seminar sebegini yang menghimpunkan golongan cendikiawan dalam bidang hadith dapat menjadi mekanisma terbaik dalam membetulkan salah fahaman ini.

No comments:

Post a Comment